Berpuasa adalah aktiviti terpenting dalam bulan ini.
Persoalannya;
bagaimana tips-tips yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk puasa kita dinilai
tinggi oleh Allah?
Mari kita
telusuri satu persatu.
Rasulullah S.A.W Bersahur
Rasulullah menganjurkan kita untuk bersahur sebelum
aktiviti menahan diri dari makan dan minum di siang hari dimulakan.
Bagaimana Rasulullah s.a.w bersahur?
Bersahur bukanlah dilakukan ditengah
malam, tetapi ia dilakukan di awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan
waktu solat subuh.
Bersahur juga memberi kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita
dengan berpuasa.
Dari Anas Bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Bersahurlah
kerana pada sahur itu terdapat keberkatan.(HR: al-Bukhari)
Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun
bersahur kerana ia adalah salah satu dari cirri-ciri bersahur orang Islam.
Sabdanya: bermaksud: Perbezaan antara puasa kami
dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur (HR: Muslim)
Rasulullah Menyegerakan Berbuka
Tidak melewat-lewatkan berbuka puasa adalah salah satu tips
berpuasa yang di ajar oleh Rasulullah.
Ini kerana, perbuatan itu sangat mendatangkan kebaikan
untuk mereka yang menahan diri dari makan dan minum.
Manusia itu akan terus berada dalam
kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa.(al-Bukhari
& Muslim)
Perbuatan melambat-lambatkan berbuka puasa adalah salah
satu perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Masyarakat kita sering
melihat perkara ini sebagai satu isu remeh.
Apa yang terjadi dalam rata-rata masyarakat kita di
Malaysia, ketika masuknya waktu solat maghrib (waktu untuk berbuka puasa),
mereka masih lagi berada di bazar-bazar ramadhan untuk membeli juadah mereka.
Penjual masih lagi melayan pelanggan tanpa terus berbuka
walaupun azan maghrib telah berkumandang.
Ibu-ibu di rumah pula masih berada di dapur menyiapkan
juadah berbuka puasa ketika azan maghrib bergema.
Ini kerana melewat-lewatkan berbuka puasa adalah amalan
Yahudi dan Kristian.
Persiapan seharusnya dilakukan dengan segera agar seruan
Rasulullah s.a.w untuk kebaikan umatnya dapat diamalkan sebaiknya.
Rasulullah telah bersabda di dalam satu hadithnya yang
dilaporkan oleh Abu Daud & Ibn Majah yang sanadnya berstatus hasan seperti
yang dinilai oleh al-Albani r.h yang bermaksud:
Agama
ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa,
ini kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya.
Berbuka puasa dengan beberapa biji kurma
Antara kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w adalah
memulakan memakan beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa.
Ini untuk memudahkan dirinya bersolat dalam keadaan tidak terlalu kenyang.
Pernah diriwayatkan dari Anas Bin Malik, seperti yang
dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi yang bermaksud:
Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda
berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah,
baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka
dengan beberapa teguk air.
Ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w.
Ramai diantara kita yang sering meninggalkan sunnah ini.
Mereka menyegerakan berbuka puasa serta makan dan minum sehingga kekenyangan
lalu melewatkan bersolat maghrib.
Rasulullah makan dengan beberapa biji kurma, kemudian
bersolat.
Apabila Rasulullah s.a.w terasa lapar, Rasulullah s.a.w
makan selepas baginda solat.
Tidur Qailulah
Nabi s.a.w mengajarkan kepada kita agar sentiasa cergas
ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di
malamnya.
Antara kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah
dengan tidur sebentar sebelum solat zohor, perbuatan itu dinamakan
dengan Qailulah.
Ini untuk memudahkan kita bangun di waktu malam mengerjakan
amal ibadat.
Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah
bersabda;
Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari
dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah
malam.
Apa yang terjadi hari ini pada sesetengah masyarakat kita,
mereka tidak menerapkan sunnah ini bahkan perbuatan mereka menyalahi sunnah
ini.
Mereka terutama anak-anak muda menghabiskan waktu siangnya
dengan tidur sepanjang hari dan hanya bangun untuk berbuka puasa sahaja.
Berpuasa bukanlah bulan tidur kerana keletihan.
Puasa adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan
sunnah kerana padanya pahala dilipatgandakan.
Menjaga Lidah
Terlalu rugi jika kita berpuasa, tetapi tidak mendapat
sedikit pahala dari amalan tersebut.
Akibatnya, kita hanya mendapat lapar dan dahaga. Antara
faktor berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana tidak menjaga lidah.
Mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah,
mengadu domba, banyak bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha juga
dilakukan ketika berpuasa.
Umumnya perbuatan ini adalah perbuatan haram untuk
dilakukan walaupun bukan pada bulan Ramadhan.
Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadis yang
diriwayat oleh Ahmad dan al-Tabarani yang bermaksud:
Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga
(tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah
mengantuk (tiada pahala)
Rasulullah
s.a.w bersabda lagi dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Imam al-Bukhari
yang bermaksud:
Apabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa,
maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh
seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata “Saya berpuasa”.
Memberi Makan Orang Yang Berpuasa
Antara amalan dan tips yang ditinggalkan oleh Rasulullah
s.a.w untuk meningkat neraca kita adalah dengan cara menginfaqkan sedikit harta
dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa.
Terlalu besar ganjarannya seperti yang diberitahu
Rasulullah
Sesiapa
yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan
mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa
dikurangkan sedikit pun daripadanya
(Tirmidzi dan Ibn Maja)
Adalah sunnah untuk mereka yang dijemput untuk berbuka
puasa mendoakan orang yang menjemput dengan doa-doa yang baik setelah selesai
berbuka puasa.
Doa Ketika Berbuka Puasa
Berdoa ketika berbuka puasa adalah mustajab.
Kita digalakkan untuk berdoa apa sahaja yang kita ingini
ketika menunggu waktu tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda
Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin
yang adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang
dizalimi. (Tirmidzi, Ibn Majah dan
Ibn Hibban)
Rasulullah s.a.w juga mengajarkan cara berdoa ketika
berbuka puasa.
Berikut adalah doa yang baik untuk dibacakan oleh kita
sebagai memenuhi tuntutan ittiba’ al-Sunnah. Imam al-Darulqutni menilai sanad
hadis ini sebagai hasan. Doa tersebut adalah:
ذهب الظماء وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله تعالى
Bermaksud: Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan
telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.
Penutup
Marilah sama-sama kita berpuasa sepertimana puasanya
Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang mulia.
Semoga puasa kita pada tahun ini mampu mengubah
dimensi hidup kita yang bercerminkan sunnah Rasulullah dalam beribadat.
Perbanyakkanlah membaca al-Quran dan berzikir, nasihat
menasihati serta berdakwah kepada Islam.
Jadikan ramadhan kali ini penuh makna untuk diri kita dan
masyarakat. Wallahu A’lam.
–
Mohammad Sufian Talib
http://akuislam.com/blog/renungan/puasa-gaya-rasulullah-s-a-w/
Tidak ada komentar:
Posting Komentar